Cincin Rosmah RM24.45 juta: Data kastam cuba dipadam- Chegu Bard

Posted on 18 Julai 2011



Posted on Julai 18, 2011 by KeadilanDaily

KUALA LUMPUR: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendedahkan pihak kastam di raja Malaysia (KDRM) cuba melindungi
transaksi pembelian cincin berharga RM24.45 juta yang dibeli isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurutnya, sebaik sahaja siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan ke atas individu bernama A. Krishnan, sistem kastam di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah mengalami masalah.

“Sebaik sahaja siasatan SPRM bermula maka sistem kastam di Kargo, KLIA telah ‘down’ hampir 3 jam.

“Kakitangan agen pengurusan kargo tidak lagi boleh mengakses sistem kastam seperti biasa selepas itu, pelbagai ‘syarat’ dikenakan semuanya dijalankan secara ‘manual’,” kata Badrul atau dikenali Chegu Bard.

Beliau berkata, satu pekeliling turut ditampal di papan kenyataan kargo di KLIA, namun ditanggalkan beberapa jam kemudian kerana mungkin tidak mahu arahan
rasmi itu ‘dibocorkan’.

“Kami telah menjangkakan sebelum ini data dalam sistem ini mungkin saja akan dipadamkan atau dipinda untuk menjaga ‘Imelda Rosmah’. Bayangkan dalam kes
lebih serius iaitu kes pembunuhan Altantuya rekod imegresen pun boleh dipadamkan,” katanya.

Menurut Chegu Bard, Sabtu lalu KDRM mengeluarkan borang asal yang hanya boleh dicetak oleh pegawai tinggi kastam atau agen pengurusan terlibat, berhubung transaksi itu.

Katanya lagi, borang yang dinamakan ‘borang 2′ dikeluarkan pihak kastam untuk membuktikan berlian itu dibawa keluar ke Singapura 4 hari selepas ia dibawa masuk ke negara ini.

“Kononnya belian itu hanya untuk pameran belian yang dibuat di rumah VVIP sahaja dan kemudian dibawa keluar semula ke Singapura,” kata Chegu Bard.

Menurut sumber dalaman, kata Chegu Bard, kewujudan borang kedua tersebut menyatakan pembelian berlian menggunakan ‘hand carry’ dan borang secara manual keluar ke Singapura.

Chegu Bard berkata, sumber itu juga memaklumkan Freight on Board (FOB) pembelian tersebut berbeza, sedangkan FOB adalah nilai sebenar barang yang dibeli mengikut
harga invois.

“Nombor daftar ROC Jacob & Co pun tak sama, sepatutnya jika barang masuk untuk pameran dan sebagainya seharusnya ada terma ikrar, tetapi sebaliknya dalam sistem kastam ketika belian itu masuk lansung tidak wujud sebarang terma ikrar hanya untuk pameran dan akan dibawa keluar semula,” Chegu Bard memetik sumber tersebut.

Chegu Bard berkata, sepatutnya sekiranya dakwaan itu tidak betul, Rosmah- yang digelarnya sebagai Imelda Rosmah perlu tampil untuk menafikan dakwaan itu.

“Bagaimana pula dengan gelang ‘zebra’ dan jam ‘zebra’ yang juga keluaran Jacob & co yang jelas ada gambar Imelda Rosmah menggunakannya ? Adakah Jacob & co hanya bagi pinjam kerana dia terpulih menjadi duta produk Jacob & co ?,” soal beliau.

Advertisements
Posted in: Uncategorized