BATU TERAPUNG MEMANG WUJUD(KEAJAIBAN DAN KEBESARAN ALLAH)

Posted on 8 Jun 2011



SOALAN:‎
Dato’, saya telah melihat gambar dalam internet dan mendengar beberapa ceramah Israk Mikraj, ‎ada penceramah menunjukkan gambar batu besar yang tergantung-gantung di Masjidil Aqsa, ‎Baitulmaqdis. Adakah benar batu itu tergantung-gantung (tidak berpihak di bumi) dan terlepas ‎daripada tarikan graviti. Pohon Dato’ perjelaskan apakah yang sebenarnya. – ZAINAL AHMAD
Batu Terapung Dalam Peristiwa ‎Isra’ Mikraj
JAWAPAN:‎
Tempat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Dimikrajkan
Ulama umumnya berpendapat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermikraj dari satu tempat ‎di Baitulmaqdis yang disebut sebagai Qubbatul Mikraj (kubah tempat dimikrajkan). Tempat itu ‎juga dikenali sebagai Sakhrah Baitulmaqdis.‎
Pengalaman Al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi
Dalam kitab al-Israk wal-Mikraj oleh Khalid Saiyyid Ali di halaman 82, atas tajuk yang ‎bermaksud ‘Tempat Nabi bermikraj’, disebut di bawahnya suatu penulisan (yang bermaksud): ‎‎“Berkatalah al-Imam Abu Bakar Ibnul ‘Arabi, ketika membuat penjelasan (syarah) Kitab al-‎Muwattak oleh Imam Malik disebutkan, batu besar di Baitulmaqdis adalah suatu keajaiban Allah ‎SWT.‎
‎“Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah ‎daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang ‎Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi.”‎
‎“Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berpijak ‎untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas ‎kehebatan baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maka batu itu tergantung, saya sendiri takut ‎untuk berada di bawahnya, kerana takut batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya.”‎
‎“Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di ‎bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua ‎arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari ‎bumi daripada arah yang lain.” ‎
Inilah penulisan yang saya rujuk daripada penulisan seorang ulama besar yang dikenali dengan ‎nama Ibnul ‘Arabi. Daripada sinilah timbul cerita demi cerita yang menyatakan batu tempat Nabi ‎Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tergantung-gantung. Itu adalah cerita dahulu. Ada ‎sandarannya, ada catatannya dalam kitab-kitab yang berautoriti, termasuk daripada kitab yang ‎saya sebutkan tadi.‎

Batu Terapung Pada Hari Ini Dari Pengalaman Dato’ Dr Haron Din
Ada pun mutakhir ini, saya sendiri berpengalaman, telah masuk dan melihat batu tersebut, yang ‎sekarang tempat itu dikenali sebagai Qubbatul Sakhrah (kubah yang di bawahnya ada batu). ‎Sekarang ini sudah berada di belakang daripada Masjid al Aqsa.‎
Jika dilihat Masjid al-Aqsa, imam akan dilihat berada nun jauh daripada arah kiblat dan berakhir ‎kawasan masjid dengan Qubbatul Sakhrah ini.‎
Para Jemaah Mengambil Kesempatan Solat Di Bawah Batu Terapung
Meneliti Batu Terapung
Saya telah memasuki tempat ini, berpeluang melihat batu itu dan masuk ke bawahnya. Memang ‎batu itu benar-benar wujud dan terletak di tengah-tengah bangunan. Gambaran sekarang ini, batu ‎itu jika dilihat daripada bawah, seolah-olah seperti sebuah payung besar, seperti gua yang kita ‎berada di bawahnya. Saya menganggarkan keluasan tempat itu, sebesar ruang solat untuk 20 atau ‎‎25 orang, jika untuk masuk bersesak-sesak boleh sampai 150 orang.‎
Keadaan Berubah
Merenung batu itu dengan cermat, saya dapati ia sekarang terletak di atas fondisi konkrit batu ‎yang kukuh. Di segenap arahnya berpijak ke atas fondisi itu dan tidak nampak pun ia tergantung ‎seperti yang dijelaskan di atas. Semasa lawatan itu, saya kebetulan bertemu dengan Imam Besar ‎Masjid al-Aqsa yang berada di situ, di samping pemandu pelancong kami. Mereka menyatakan ‎memang dahulu batu besar yang macam payung itu tergantung-gantung.‎
Kegerunan Hati Manusia
Oleh kerana banyak pembesar-pembesar negara dan banyak pelawat-pelawat luar datang, mereka ‎terperanjat dan amat gerun dengan keadaan batu itu, banyak yang tidak berani masuk di bawah ‎batu itu, kerana takut tiba-tiba batu itu menghempap. Memandangan hal keselamatan penting dan ‎mengelak daripada berlakunya berbagai tanggapan orang ramai ke atas keadaan yang unik itu, ‎maka pihak berkuasa mengambil tindakan membina fondisi yang menyambung batu itu dari ‎bumi.‎
Mengapa Berubah..?‎
Ketakutan pembesar-pembesar zaman ini samalah seperti yang dirasai oleh al-Imam Aku Bakar ‎Ibnul ‘Arabi seperti dalam bukunya.‎
Maka atas itulah batu tersebut sudah tidak lagi kelihatan tergantung-gantung, tetapi ia menjadi ‎seperti sebuah bangunan yang di bawahnya boleh dimasuki, ia kelihatan seperti sebuah batu biasa ‎yang dapat dilihat. Wallahua’lam.‎

Advertisements
Posted in: Uncategorized