LAWATAN KE EROPAH SEKIRANYA MENANG

Posted on 2 Jun 2011



KUALA TERENGGANU – Pemain bola sepak Terengganu dijanjikan hadiah lawatan ke Eropah ‎jika berjaya menjadi juara berganda dalam perlawanan akhir Piala FA dan Liga Super nanti.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebagai ‎dorongan kepada Skuad Penyu beraksi dengan baik dalam perlawanan akhir Piala FA yang akan ‎berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini selain berusaha menempah tiket ‎untuk melangkah ke peringkat akhir Liga Super.

Katanya sebagai tanda sokongan, kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu ‎akan menghantar seberapa ramai rombongan untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA.

Beliau berkata, demikian pada majlis penyerahan bendera kontinjen Terengganu yang akan ‎mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia ke-14 kepada Ketua Kontinjen, Datuk Wan Ahamad ‎Wan Muda di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini malam tadi.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri Terengganu akan mengekalkan ganjaran wang ‎tunai seperti sebelum ini kepada atlet yang berjaya memenangi pingat pada Kejohanan Sukan ‎Malaysia di Kuala Lumpur bulan depan.

Insentif bernilai RM5,000 akan diberi kepada atlet yang berjaya memperoleh pingat emas, ‎RM3,000 perak dan RM2,OOO gangsa sekiranya kontinjen Terengganu muncul sebagai juara ‎keseluruhan dalam kejohanan yang akan berlangsung dari 2 hingga 12 Jun itu.

‎”Jika sebaliknya, ganjaran RM3,000 akan diberi kepada mereka yang meraih pingat emas, ‎RM2,OOO perak dan RM1,OOO gangsa,” katanya.

Pada kejohanan kali ini, Terengganu diwakili oleh 214 atlet yang akan beraksi dalam 15 daripada ‎‎20 acara yang dipertandingkan dengan sasaran 27 pingat emas, 18 perak dan 12 gangsa.‎

Tagged:
Posted in: Uncategorized