KEPIMPINAN ULAMAK PERLU DALAM PAS

Posted on 2 Jun 2011



SHAH ALAM – Kepimpinan ulama harus diteruskan dalam Pas bagi memastikan parti itu terus ‎memperjuangkan Islam yang syumul,” kata Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.

Katanya, ahli parti yang memahami tonggak perjuangan Pas seharusnya mengetahui presiden ‎memerlukan golongan ulama sebagai timbalannya untuk mengukuhkan lagi kesepaduan parti.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada perwakilan untuk buat keputusan dan memilih kerana ‎sesiapa sahaja yang menang tiada masalah bagi kepimpinan sebab mereka juga ahli Pas.

‎“Tapi kalau perwakilan faham, tradisi kepimpinan ulama itu harus diteruskan. Ikut amalan sesiapa pun ‎boleh, tapi amalan biasa adalah kepimpinan ulama biarpun dalam perlembagaan parti tiada syarat ‎begitu.

‎“Parti tidak mahu sejarah berulang apabila tugas presiden tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan ‎oleh Yusof Rawa yang menggantikan Tan Sri Mohd Asri Muda,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Haron berkata, mana-mana pemimpin akan dipilih untuk jawatan nombor dua parti itu harus patuh ‎kepada perlembagaan parti selain memperjuangkan dasar-dasar yang ditetapkan.

‎“Bagi saya tidak kisah siapa yang akan menang, tapi saya harap mereka yang menang nanti tahu dasar ‎parti, pertahankan dasar itu dan seterusnya memperjuangkan dasar parti ini kerana parti mahukan ‎seorang pemimpin yang boleh buat kerja,” katanya.

Pemimpin veteran Pas, Subky Abdul Latif berkata, jawatan nombor dua parti harus diberi kepada ‎pemimpin berlatar belakangkan kelulusan agama atau ulama.

‎“Kalau timbalan tiada kelebihan ini dan ditakdirkan presiden tiada macam mana? Pemangku presiden ‎mesti mahir al-Quran dan hadis sebab bila ada soal yang membabitkan hukum Islam dia boleh jawab,” ‎katanya.

Namun jelas bekas Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan ini, secara konvensional dasar kepimpinan ‎ulama yang menjadi tradisi parti itu harus diteruskan.

Bagaimanapun, Subky berkata, untuk jawatan naib presiden mana-mana golongan baik ulama atau ‎profesional dibolehkan.

‎“Sebab itu dalam Pas ini presiden, timbalan presiden dan naib presiden sangat penting sebab rakyat ‎melihat apa yang berlaku dalam parti. Kalau seorang itu ustaz dia mesti ustaz yang berwibawa dan ‎kalau dia seorang pemimpin dia mesti boleh diterima semua lapisan masyarakat,” katanya.

Katanya, sesiapa yang menang untuk jawatan timbalan presiden mestilah orang yang boleh ‎menggantikan presiden jika berlaku kekosongan.

‎“Penggantinya mesti hebat atau lebih hebat daripada presiden sebelum ini dan dalam Pas ada calon-‎calon yang yang layak, tapi mereka tidak ke depan,” katanya.

Pemilihan Muktamar Pas ke-57 ini memperlihatkan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan nombor ‎dua parti, iaitu antara penyandangnya, Nasharudin Mat Isa, yang dicabar Naib Presiden Datuk Tuan ‎Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Pas, Mohamad Sabu.

Pada pemilihan kali ini Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan Presiden yang disandang ‎sejak 2002 tanpa tanding.

Bagi jawatan naib presiden, selain dua penyandang Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, empat ‎pemimpin lain yang turut bertanding adalah Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Husam Musa dan Datuk Seri ‎Mohammad Nizar Jamaluddin, Ketua Penerangan Idris Ahmad dan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk ‎Mohd Amar Abdullah.‎

Advertisements
Tagged:
Posted in: Uncategorized