Sindiket gores menang kereta mewah diserbu

Posted on 19 Mei 2011



KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket gores dan menang yang mengumpan mangsa dengan menawarkan hadiah kereta akhirnya tumpas setelah lima ahli sindiket terbabit termasuk seorang wanita ditahan polis di Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman diketuai, Cif Inspektor Mohd Zaid Othman, menyerbu premis sindiket itu selepas menerima tiga aduan daripada mangsa.

“Serbuan dilakukan selepas menerima aduan daripada salah seorang mangsa yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi semalam dengan mendakwa ditipu RM4,000,” katanya.

Menurutnya, ketika mangsa perlu ke premis itu sekali lagi bagi menjelaskan baki RM4,000, dia menunjukkan lokasi premis sindiket itu yang baru digunakan selama dua bulan itu kepada polis.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis empat bilik itu, polis merampas beberapa peralatan elektrik termasuk tilam dan mesin jahit yang dianggar bernilai RM20,000 dan lima ahli sindiket ditahan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Mohd Zaid berkata, sindiket itu dikesan licik menggunakan modus operandi, menawarkan mangsa hadiah kereta mewah seperti Toyota Altis dan Honda Vios.

Katanya, sindiket itu dipercayai sudah lama aktif tetapi bergerak secara berpindah-randah untuk mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Mereka cari mangsa di sekitar pusat beli-belah.

“Mangsa yang terpedaya diminta untuk ke premis itu bagi menuntut hadiah dan perlu membayar wang dalam jumlah tertentu berdasarkan hadiah dimenangi ketika menggores kad yang diberi,” katanya.

Menurutnya, kelima-lima yang ditahan berusia antara lingkungan 20 hingga 30 tahun itu merupakan penjaga premis terbabit.

Advertisements
Posted in: Uncategorized