Hudud Terengganu – Kesinambungan Kanun Melaka & Kesultanan Islam

Posted on 11 Mei 2011



Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah membawa kepada penubuhan Kesultanan Melayu yang menggantikan sistem pemerintahan hindu sebelumnya. Sejarah membuktikan kesultanan Islam awal seperti Kesultanan Kedah telah bermula 531H/ 1136M. Kesultanan Kelantan bertapak pada tahun 577H/ 1181M dan sudah bermulanya pentadbiran dan undang-undang Islam di Rantau Melayu ini.

Selain peraturan Islam yang tercatat di batu Bersurat Terengganu pada 702H/1303M, Kerajaan Melaka telah menggubal undang-undangnya sendiri yang berasaskann undang-undang Islam yang dikenali sebagai Risalah Hukum Qanun. Ia dikuat-kuasakan di Melaka. Qanun ini ditulis pada zaman pemerintahan Sultan MUzaffar Syah (1446-1456) dan ianya dilengkapkan oleh Hang Sidi Ahmad dizaman pemerintahan Sultan Melaka terakhir (1488-1511). Dalam masa yang sama Undang-undang Laut juga digubal yang menyentuh tentang peraturan pelabuhan, pelayaran di laut dan percukaian.

Hukum kanun Melaka meliputi bidang yang luas termasuklah jenayah, mu’amalah, keluarga, acara, keterangan, adab alqadi dan undang-undang pentadbiran dan pemerintahan. Hukuman keseksaan pula berdasarkan kepada bentuk hudud, qisas, diat dan ta’zir. Menurut beberapa orang pengkaji barat, seperti William R. Roff dan Alfred R. Rubin bahawa Undang-undang Melaka itu pada dasarnya berasaskan Undang-undang Islam di samping Hukum Akal dan Hukum Adat. Pendapat mereka ini adalah menepati kenyataan yang terdapat di dalam qanun tersebut; “Mengikut hukum Allah, pada hukum Allah, menurut dalil AlQuran dan menurut amar bil ma’ruf wa nahi munkar”.

Berdasarkan kepada teks Hukum Qanun Melaka yang diselenggarakan oleh Dr Ph. S. Rankel mengandungi 27 fasal , Kitab Undang-undang Melaka dari Muzium British mengandungi 44 fasal dan setelah diteliti dan dikaji Undang-undang Melaka, dapatlah disimpulkan bahawa , Undang-undang Qanun Melaka ini adalah pada keseluruhannya berdasarkan Undang-undang Islam menurut Mazhab Syafie.

Advertisements
Posted in: Uncategorized