Mana hadiah wang kemenangan kami?

Posted on 10 Mei 2011



Oleh TAN MING WAI
tan.mingwai@utusan.com.my

KUALA LUMPUR – Seorang bekas atlet negara yang dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan pada tahun 1960-an mendakwa masih belum menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 yang dijanjikan kerana dipilih sebagai pemenang anugerah tersebut.

Lebih mengejutkan, menurut bekas atlet negara itu yang enggan namanya disiarkan, isu itu turut melibatkan sebilangan besar pemenang-pemenang anugerah yang sama sejak tahun 60-an sehingga awal 80-an.

Difahamkan pemenang anugerah Olahragawan dan Olahragawati pada tahun-tahun tersebut sepatutnya menerima ganjaran tunai di antara RM5,000 hingga RM10,000 setiap seorang.

“Selepas berpuluh-puluh tahun menunggu, saya belum menerima walau satu sen pun hadiah wang tunai yang dijanjikan… kami berhak ke atas ganjaran itu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelasnya, nilai RM5,000 hingga RM10,000 mungkin tidak setinggi seperti mana ketika ini, namun pada tahun 60-an jumlah tersebut mungkin bersamaan nilai ratusan ribu ringgit.

“Wang ganjaran itu jika saya terima ketika itu, saya mungkin dapat membeli sebuah rumah teres satu tingkat.

“Atlet-atlet dulu menempuh kehidupan sukar, kami mencurahkan masa, kesihatan, wang, segala-galanya untuk negara.

“Kami tidak meminta apa-apa yang lebih, cuma kalau ganjaran itu sudah dijanjikan, kenapa kami tidak menerimanya,”katanya.

Menurut beliau lagi, masalah itu pernah dikemukakan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) pertengahan tahun lalu, namun tiada perkembangan lanjut.

“Pada mesyuarat tersebut, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong bersetuju untuk meneliti perkara itu tetapi selepas hampir setahun, masih tiada sebarang jawapan,” ujarnya.

Tegasnya, beliau akan terus memperjuangkan isu ini sehingga mendapat penjelasan yang memuaskan.

“Saya merancang untuk membawa isu ini dalam AGM Yakeb yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang bekas Olahragawan Kebangsaan yang tidak mahu identitinya didedahkan mengesahkan beliau juga merupakan antara pemenang anugerah tersebut, tetapi masih tidak menerima ganjaran yang dijanjikan.

“Saya merupakan antara mereka yang kurang bernasib baik,” katanya menerusi teks pesanan ringkas kepada Utusan Malaysia, semalam.

Advertisements
Posted in: Uncategorized