KELUARGA ANWAR AKHIRNYA AKUR UNTUK MELIHAT VIDEO SEX YANG DIKATAKAN SUAMINYA TERLIBAT

Posted on 6 April 2011



KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga akhirnya akur untuk melihat sendiri video salah laku seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin PKR.

Sebelum ini Dr Wan Azizah pernah mengeluarkan kenyataan beliau tidak akan melihat video tersebut kerana didakwa mengandungi aksi lucah serta bertentangan dengan nilai Islam.

Pada sidang media yang diadakan di kediamannya semalam, Dr Wan Azizah berkata, beliau bersetuju melihat video itu kerana dimaklumkan terlebih dahulu bahawa video tersebut telah disunting dan tidak menunjukkan aksi seks.

Menurutnya, selepas melihat video itu, beliau bertambah yakin bahawa pelakon dalam video tersebut bukanlah suami beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Ketua Umum PKR, kerana susuk tubuh individu dalam rakaman itu amat berlainan sekali dengan susuk tubuh suaminya itu.

“Video tersebut adalah bukti paling kukuh bagi sesiapa yang benar-benar mengenali Anwar bahawa tuduhan terbaru ini adalah satu lagi fitnah zalim dan palsu.

“Siapa lagi yang lebih mengenali beliau dengan begitu intim kalau bukan kami, keluarga terdekat yang telah bersama beliau dalam susah dan senang, khusus dari saat beliau berada di arus perdana kepimpinan negara hinggalah ke hari-hari beliau mulai pulih dari serangan apabila beliau dibebaskan daripada penjara,” katanya.

Katanya lagi, sepanjang lebih setahun lalu, anak-anak Anwar sering menemaninya setiap kali beliau melakukan aktiviti senaman dan fisioterapi sebagai sebahagian daripada proses pemulihan kesihatan tulang belakangnya.

“Jika disenaraikan semua tuduhan tersebut, nyata sekali ianya tidak masuk akal bagaimana Anwar dapat melakukan kesemua tuduhan ini yang bertentangan antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya lagi, PR menolak sekeras-kerasnya politik kasar dan mengajak rakyat Malaysia bersama-sama menolak politik kotor serta menegakkan keadilan bagi menuntut perjuangan menuntut reformasi menyeluruh sistem politik, ekonomi dan sosial negara.

“Pendedahan video seks ini pada 4 April (kelmarin) sebenarnya adalah ulang tahun ke-12 penubuhan PKR.
“Sudahlah, cukuplah dengan budaya politik seperti ini. Ada banyak perkara lain yang perlu diutamakan daripada politik kotor dan jijik,” katanya.

Klip video yang didakwa dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang melanggan seorang pelacur difahamkan warga China, telah dimuatkan dalam laman video YouTube dan beberapa blog terkenal.

Klip itu, yang panjangnya 1 minit 47 saat, menunjukkan dua orang lelaki dan seorang wanita berada di sebuah bilik, tetapi tidak ada aksi seks. Rakaman asal yang dipertontonkan kepada media di Hotel Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur, pada 21 Mac lalu dilaporkan berdurasi 21 minit.

Advertisements
Posted in: Uncategorized