Kawal sebaran video elak rakyat resah

Posted on 5 April 2011



KUALA LUMPUR, 5 April: Rangkaian Memacu Arus Perjuangan (MAP) memandang serius pendedahan video seks di YouTube membabitkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presidennya, Mustaffa Kamil Ayub berkata, ia amat keterlaluan dan mencemarkan nilai budaya politik Malaysia.

“Sama ada video tersebut tulen atau tidak bukanlah menjadi persoalan pada tahap ini, tetapi yang lebih penting adalah mengawal penyebarannya agar tidak menimbulkan keresahan di kalangan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, kenyataan Ketua Polis Negara mengenai ketulenan video tersebut menimbulkan kekeliruan persepsi di kalangan sebahagian rakyat.

Tambahnya, tindakan menayangkan dan membiarkan penyebarannya juga bermakna menghukum bersalah terhadap seseorang sebelum keputusan hukuman mahkamah.

MAP, ujarnya menyeru semua pihak bergerak ke arah politik nilai yang menekan kepada penjagaan akhlak sesama insan, proses undang-undang yang telus, mengutamakan kepentingan rakyat serta menjaga kemurnian budaya murni Malaysia.

Advertisements
Posted in: Uncategorized