MURID 7 TAHUN MATI DI BELASAH GURU

Posted on 4 April 2011



ALOR SETAR – Seorang murid Sekolah Agama Rakyat (SAR) berasrama di Jejawi, Perlis dipercayai dibelasah seorang guru tanpa belas kasihan sehingga koma, menghembus nafas terakhir pada jam 8.50 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini semalam.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, dimasukkan ke hospital berkenaan, Jumaat lalu.

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, ketika dihubungi berkata, jenazah anaknya akan dikebumikan Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, belakang Balai Bomba, Kangar, petang ini.

Menurutnya, walaupun sebelum ini anaknya tinggal bersama keluarga angkat sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006, namun hubungan antara mereka akrab sekalipun jarang berjumpa kerana terpaksa bertugas di Langkawi.

“Saya kerap berkunjung ke rumah keluarga angkat sekiranya mempunyai masa lapang untuk melihat Syazani, tetapi sejak kebelakangan ini saya jarang berjumpa Syazani kerana sibuk dengan tugasan.

“Syazani anak tunggal hasil perkongsian hidup dengan arwah isteri, bagaimanapun sebelum itu saya pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 14 tahun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam perkembangan sebelum ini, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, Syazani tidak sedarkan diri akibat masalah jantung dan pendarahan otak, kemudiannya dipindahkan ke HSB dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

“Sebaik menerima laporan bapa mangsa, polis menggerakkan usaha memburu suspek sebelum lelaki itu yang juga warden asrama sekolah terbabit menyerah diri di Balai Polis Arau dan direman tujuh hari,” katanya.

Menerusi perkembangan sama, mangsa diperlakukan guru lelaki berusia 26 tahun itu selepas dituduh terbabit dalam beberapa kes kecurian wang.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 7 malam Khamis lalu selepas mangsa dibawa guru berkenaan ke bilik sebelum dua tangannya diikat dan disoal siasat berhubung insiden kecurian.

Mangsa dikatakan merayu dilepaskan, tetapi tidak diendahkan guru terbabit yang didakwa terus memukul dan menyoal siasat sehingga kanak-kanak itu diserang sawan dan terus pengsan.

Sebaik sahaja mengetahui kejadian itu, bapa mangsa terus bergegas ke HSB dan terkejut melihat kesan lebam di badan, mata kiri dan pipi, muka bengkak, selain melecet pada tangan kiri anaknya.

Selepas melihat keadaan itu, dia segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada petang Jumaat lalu.

Posted in: Uncategorized