PENDUDUK KANGAR PINDAH LAGI

Posted on 30 Mac 2011



KANGAR – Jumlah mangsa banjir di Perlis meningkat apabila 416 mangsa daripada 120 keluarga dipindahkan ke 13 pusat pemindahan banjir sehingga pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, angka itu bertambah berbanding 306 mangsa pada malam tadi.

Kawasan yang dilanda banjir termasuk di kawasan Bintong, Sena dan Santan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu meninjau kawasan-kawasan banjir sejak semalam dan bertemu mangsa-mangsa di beberapa pusat pemindahan.

Beliau menasihati orang ramai di kawasan banjir supaya mematuhi arahan berpindah berikutan paras air yang meningkat.

Sementara itu, data paras air sungai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan Sungai Korok di utara Perlis melepasi paras bahaya dengan ketinggian 29.80 meter sehingga jam 9.15 pagi ini.

Paras bahaya sungai itu ialah 29.60 meter.

Hujan masih turun dan ada di kalangan penduduk yang memilih untuk berpindah ke rumah sanak-saudara di kawasan selamat selain berpindah ke pusat-pusat pemindahan.

Advertisements
Posted in: Uncategorized