HINDRAF BUKAN PEMBELA KAUM INDIA

Posted on 7 Mac 2011



SEREMBAN – Masyarakat India yang tidak bekerja dan berdepan masalah kemiskinan disarankan bekerja di ladang milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengatasi masalah kesempitan hidup.

Presiden MIC, Datuk G Palanivel berkata, masyarakat India masih dihimpit masalah tiada pekerjaan tetap, yang menjadi faktor utama kemiskinan kaum berkenaan di negara ini.

“Ramai masyarakat India berhijrah ke bandar tetapi masih gagal mendapatkan pekerjaan tetap. Lebih baik golongan ini kembali pulang ke estet kerana hubungan masyarakat di estet lebih rapat, keselamatan terjamin,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat di Wisma MIC, semalam, berkata, langkah itu dapat membantu menampung keperluan tenaga kerja di estet.

“Banyak peluang pekerjaan disediakan GLC di estet kepada rakyat di negara ini tetapi peluang itu hanya direbut pendatang asing sahaja,” katanya.

Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, taraf kehidupan pekerja ladang semakin baik berikutan keputusan kerajaan menaikkan kadar upah minimum golongan itu kepada RM700 sebulan.

“Tidak perlu gusar status dan kehidupan di estet kerana yang penting, kehidupan terjamin,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Agung MIC, Datuk T Rajagopalu dan Pengerusi MIC negeri, Datuk VS Mogan.

Mengulas isu berbeza, Palanivel turut menempelak penyokong pertubuhan haram Hindraf yang pada pandangannya langsung tidak membantu meningkatkan taraf kehidupan kaum India di negara ini.

“Saya mahu tanya anda, adakah Hindraf membuat demonstrasi kerana membela masyarakat India, mengetengahkan masalah kemiskinan?,” katanya.

Advertisements
Posted in: Uncategorized