Berjimat dalam kehidupan

Posted on 6 Mac 2011



Sumbangan dari Brunai

AMALAN berjimat cermat dalam kehidupan harian amat penting diamalkan. Hidup bersederhana, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula terlampau berkurangan dalam kehidupan ini yang penuh dengan cabaran, godaan dan ujian. Namun Islam tidak pula mengajak penganutnya meninggalkan segala nikmat kehidupan yang disediakan di dunia ini seperti mana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Qashash ayat 77 yang tafsirnya:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baik-lah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Sesuai dengan agama Islam yang bersifat agama fitrah, maka Allah Subhanahu Wata’ala telah menyusun dan mengatur segala peraturan hidup supaya manusia yang diamanahkan sebagai khalifah dapat mengurus dan mentadbir alam dunia ini dengan segala kesederhanaan.

Melalui kesederhanaan, manusia akan hidup dalam keadaan berjimat cermat dengan mengunakan rezeki yang diperolehi untuk keperluan asasi. Manakala selebihnya akan digunakan untuk membantu sesama insan dan membangunkan kemudahan infrastruktur untuk kemudahan manusia bagi memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Tuntutan dan tanggungjawab ini dilaksanakan melalui pembayaran zakat, sedekah atau sumbangan derma kepada pihak yang berhak lagi bertanggungjawab dan mampu melaksanakan segala perancangan pembangunan sesuai dengan kehendak syariat Islam.

Dalam situasi semasa di mana kos kehidupan semakin hari semakin meningkat, lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga minyak dunia, akibat daripada fenomena tersebut maka harga-harga barang juga turut meningkat. Dari itu sebagai pengguna kita perlu bijak ketika berbelanja. Jika dahulu kita telah pun mengambil langkah berjimat cermat, kini kita perlu lebih berhati-hati ketika berbelanja. Berjimat cermat tidak cukup dengan sekadar membelanjakan kesemua pendapatan bulanan pada setiap bulan, seharusnya ada perancangan dan usaha untuk menyimpan atau menabung pendapatan bulanan tersebut, kerana amalan atau budaya untuk menyimpan dan menabung sangat penting bagi kegunaan masa depan.

Tabungan atau menyimpan bukan dikira sama ada banyak atau sedikit, tetapi sentiasa konsisten pada setiap masa. Manakala pasangan suami isteri perlu sama-sama merancang pengurusan kewangan keluarga agar pendapatan yang diperolehi dapat digunakan seoptimum yang mungkin.

Prinsip mengukur baju di badan sendiri perlu diamalkan dalam kita berbelanja. Kita seharusnya berbelanja berdasarkan kemampuan bukan mengikut perasaan.Kita hendaklah mengelakkan pembaziran. Pembaziran adalah dilarang dalam Islam dan dilihat sebagai perbuatan yang keji dan dianggap rakan syaitan. Sesungguhnya syaitan amat suka kepada orang yang boros dan membazir.

Selain daripada mengamalkan sifat kesederhanaan dalam segenap aspek kehidupan dengan berjimat cermat dan tidak melakukan perbuatan membazir, kita juga tidak digalakkan berhutang. Berhutang atau meminjam seharusnya tidak dijadikan satu kelaziman dalam kehidupan zaman ini. Walaupun ada ketikanya ia tidak dapat dielakkan kerana keperluan mendesak seperti pembelian rumah dan kereta. Islam tidaklah melarang umatnya berhutang dan memberi hutang bahkan dalam situasi yang tertentu adalah wajib bagi seseorang itu memberi hutang dan adalah menjadi tanggungjawab si penghutang membayar balik hutangnya. Janganlah kita dibelengu dengan pembaziran yang disamakan dengan perbuatan syaitan sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Israa’ ayat 26-27 yang tafsirnya:

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah suadara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Namun jangan pula dalam kita berjimat cermat menjadikan kita seorang yang bakhil seperti yang dijelaskan dalam Al-Qur’an Surah Al Furqaan ayat 67 yang tafsirnya:

“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampau batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Ayat ini menjelaskan serta mengingatkan kepada umat Islam akan betapa pentingnya mempunyai sifat sederhana dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan, tidak boros dan membazir serta pada masa yang sama tidak bakhil untuk menghulurkan sumbangan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Advertisements
Posted in: Uncategorized