RM108 juta untuk bantu pengusaha burung walit

Posted on 1 Mac 2011



TEMERLOH: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM108 juta bagi skim pinjaman dan bantuan kepada pengusaha burung walit untuk tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM68 juta disediakan melalui Skim Pinjaman Mikro Kredit Agro Bank kerana industri berkenaan dilihat memberi pulangan yang besar.
Selain itu, katanya RM40 juta lagi disalurkan menerusi bantuan kepada keluarga miskin melalui Program Meningkatkan Pendapatan Azam Tani yang berdaftar melalui e-kasih.

“Melalui bantuan e-kasih, keluarga miskin yang mengusahakan ternakan burung
walit itu akan diberi bantuan RM10,000 tiap seorang bagi membina bangunan,”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus asas ternakan burung walit
anjuran Pertubuhan Peladang Negeri Pahang di Dewan Sekolah Intergrasi Kerdau di
sini, hari ini.

Noh berkata, tahun lalu sahaja, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.8 juta di bawah skim bantuan e-kasih itu dengan setiap seorang diberi RM10,000 dan
berkelompok sebanyak RM35,000.

“Setakat ini terdapat seramai 6,480 pengusaha burung walit di seluruh
negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan sebanyak 200 tan metrik sarang burung
walit untuk eksport dengan pulangan bernilai lebih RM1 bilion.

“Tahun lalu sebanyak RM1 bilion diperoleh hasil daripada eksport sarang
burung walit, ternakan burung walit menjanjikan pendapatan yang lumayan kerana
ia mempunyai banyak permintaan dalam dan di luar negara,” katanya. –

Advertisements
Posted in: Uncategorized