RAKYAT MALAYSIA DI LIBYA SELAMAT

Posted on 24 Februari 2011



Kesemua 209 rakyat Malaysia termasuk pelajar yang berada di Libya berada dalam keadaan selamat selepas berlaku tunjuk perasaan bagi mendesak Muammar Gaddafi meletak jawatan.

Jurucakap Wisma Putra berkata, kedutaan besar Malaysia di Tripoli menasihatkan agar semua rakyat Malaysia berada di tempat selamat dan hanya keluar apabila keadaan terdesak.

”Kedutaan Malaysia di sana sentiasa memantau perkembangan rakyat kita di sana dan mengambil langkah sewajarnya.

”Setakat ini tiada rakyat kita terlibat dengan tunjuk perasaan itu dan mereka dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan atau kemalangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sekurang-kurangnya 62 orang maut dalam pertempuran di ibu negara Libya, Tripoli dalam tempoh dua hari lalu.

Keadaan di negara itu semakin meruncing apabila semakin ramai penyokong setia rejim Gaddafi meletakkan jawatan dan juruterbang jet pejuang berpaling tadah selepas diarah melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.

Duta Libya di Amerika Syarikat (AS), Bangladesh, India dan Indonesia mendesak Gaddafi berundur dengan sebahagian daripada mereka meletak jawatan dan menyatakan mereka kini berkhidmat untuk rakyat dan bukannya kerajaan Libya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi di negara bergolak itu boleh menghubungi Wisma Putra di Putrajaya di talian 03-88874570, 03-88874770, 03-88892746 dan 03-88892830.

Advertisements
Posted in: Uncategorized