OBAMA PAKSA MUBARAK TETAK JAWATAN SEGERA

Posted on 4 Februari 2011



WASHINGTON, 4 Feb — Pentadbiran Obama telah memulakan perbincangan dengan pegawai-pegawai Mesir berhubung satu pelan membolehkan Presiden Hosni Mubarak berundur segera — bukannya pada September ini — dan menyerahkan kuasa pemerintahan kepada kerajaan peralihan diketuai naib presiden Omar Suleiman dengan sokongan pihak tentera.
Laporan The New York Times hari ini memetik pegawai-pegawai pentadbiran Mesir dan diplomat Arab berkata, meskipun Mubarak masih menunjukkan keberatan untuk berundur sekarang, pegawai-pegawai kerajaan sudah pun meneruskan perbincangan mengenai peralihan kuasa.
Ia disertai oleh Suleiman dengan disokong Ketua Angkatan Tentera Mesir Lt-Jen Sami Enan dan Fil Marsyal Mohamed Tantawi dan menteri pertahanan — memulakan langkah segera untuk mengadakan reformasi perlembagaan.
Pelan cadangan itu, termasuk perbincangan mengenai memperbaiki sistem pilihan raya bagi mengadakan pilihan raya bebas dan adil September ini, mahukan penyertaan pelbagai kumpulan politik termasuk Ikhwanul Muslimin.
Semalam, Suleiman telah mempelawa kumpulan Islam berusia lapan dekad itu supaya mengadakan perbincangan dengan kerajaan.
Pegawai-pegawai kanan pentadbiran berkata, cadangan itu antara beberapa opsyen yang dibincangkan dengan pegawai-pegawai kanan Mubarak dalam usaha memujuk beliau berundur segera.
Hasil perbincangan itu bergantung pada beberapa faktor, antaranya protokol perlembagaan Mesir sendiri dan juga perasaan penunjuk perasaan yang terlibat dalam kebangkitan buat hari ke-11 hari ini di Kaherah dan beberapa bandar lain negara itu.
Beberapa pegawai pula mengakui tiada sebarang petunjuk sama ada Suleiman ataupun pihak tentera Mesir sudah bersedia untuk mengetepikan Mubarak, yang berkuasa sejak 1981, sama sekali dalam usaha mereka itu.
Malah pentadbiran Obama juga menghantar mesej tegas dalam siri perbincangan sulit dengan pegawai-pegawai Mesir bahawa Mubarak mesti berundur sekarang, demikian menurut pegawai-pegawai Mesir dan Amerika Syarikat.
Mubarak masih bertegas mahu kekal sebagai presiden sehingga September ini dan tidak akan mempertahankan jawatannya buat penggal keenam.
Penyokong-penyokong Mubarak menolak pendirian Amerika Syarikat itu atas alasan White House mencampuri urusan Mesir.
“Apa yang mereka minta tidak boleh dilakukan,” kata seorang pegawai kanan Mesir dengan merujuk kepada perlembagaan Mesir yang tidak membolekan naib presiden memangku jawatan presiden.
Mubarak melantik naib presiden baru itu awal minggu ini di tengah kebangkitan rakyat mahukan perubahan dalam kerajaan.
Di bawah perlembagaan negara itu, speaker Parlimen sahaja boleh mengisi kekosongan yang wujud buat sementara waktu.
“Ini jawapan teknikal saya,” kata pegawai itu.
“Jawapan politik saya ialah mereka harus menjaga urusan mereka sendiri,” katanya lagi.
Tindakan Mubarak kekal dalam kuasa akan diuji lagi hari ini di mana penunjuk perasaan menyifatkannya sebagai “hari berangkat keluar” bagi presiden itu.
Mereka bercadang untuk berarak ke istana presiden hari ini.
Posted by Budak_Perak at 2:48 PM

Advertisements
Posted in: Uncategorized