PRK DUN TENANG PENENTU TARIKH PRU 13

Posted on 20 Januari 2011



MALAYSIA INSIDER
Oleh Asrul Hadi Abdullah SaniJanuary 18, 2011KUALA LUMPUR, 18 Jan — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipercayai akan memutuskan tarikh untuk mengadakan pilihan raya umum tergempar berdasarkan pada majoriti yang bakal direkodkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang hujung bulan ini.

The Malaysian Insider difahamkan Najib meletakkan sasaran majoriti 5,000 undi di kubu kuat Umno itu sebelum memutuskan sama ada perlu memanggil pilihan raya umum ke-13 tahun ini ataupun sebaliknya.

Najib (gambar) yang juga pengerusi BN akan melawat kawasan Tenang hari ini menjelang hari penamaan calon pada 22 Januari.

BN akan mengumumkan nama calonnya esok.

Hari pengundian pilihan raya kecil yang ke-14 itu ialah 30 Januari.

Ia pilihan raya kecil yang pertama di Johor sejak pilihan raya umum Mac 2008 dan yang pertama sejak lebih satu dekad di negeri selatan itu.

Najib mahu Umno-BN mengulangi majoriti yang diperoleh ketika pilihan raya umum 2004 di mana calonnya memperoleh 5,517 undi.

Calon BN mempertahankan kerusi itu pada 8 Mac 2008 dengan majoriti 2,492 undi.

“Tenang akan digunakan sebagai kayu ukur. Jika Umno boleh menang dengan majoriti 5,000 hingga 6,000 undi maka kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan Jun ini.

“Jika Umno gagal untuk mencapai sasaran itu, maka pilihan raya kemungkinan akan dianjakkan ke suku keempat tahun ini ataupun awal tahun depan,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Pakatan Rakyat melihat pilihan raya kecil Tenang akan menjadi ujian bagi keyakinan ke atas Najib sama ada beliau boleh menerajui negara di bawah perikatan BN, kata seterunya.

Malah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga mengakui bahawa bagi mereka menawan kerusi Tenang secara realistik agak sukar tetapi jika dapat mengurangkan majoriti BN, bermakna ia akan mencerminkan populariti Najib sebagai perdana menteri.

Satu kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan bahawa kadar populariti Najib di Semenanjung Malaysia masih kekal tinggi walaupun ia merosot sedikit daripada 72 peratus Mei lalu kepada 69 peratus akhir 2010.

Pungutan suara itu menunjukkan 74 peratus orang Melayu, 54 peratus Cina dan 85 peratus orang India berpuas hati dengan prestasi Najib.

The Malaysian Insider juga difahamkan bahawa kegagalan dalam pilihan raya kecil Tenang juga kemungkinan akan membawa kepada rombakan Kabinet.

“Perdana menteri merasakan Kabinet perlu diperkukuhkan jika BN tidak dapat mencapai sasaran 5,000 undi.

“Jika ini berlaku, maka rombakan dijangkakan bulan depan. Bagaimanapun enam menteri NKRA tidak akan terjejas,” kata satu sumber.

Mereka ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (pelajaran), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (pencegahan jenayah), Datuk Seri Nazri Aziz (rasuah), Datuk Seri Shahrizat Jalil (standard kehidupan), Datuk Seri Shafie Apdal (infrastruktur) dan Datuk Seri Kong Cho Ha (pengangkutan awam).

Difahamkan Najib sedang mempertimbangkan kedudukan Datuk Seri Rais Yatim dalam Kabinet meskipun beliau sudah pun menafikan dakwaan insiden rogol bekas pembantu rumahnya.

Juga wujud spekulasi bahawa Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kemungkinan ditawarkan jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri susulan pengumuman bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Rembau Julai depan.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa beliau akan memperuntukkan RM20 juta bagi projek-projek gololongan muda, antara inisiatif Khairy yang dikemukakan susulan Makmal Pemuda BN tahun lalu.

Advertisements
Posted in: Uncategorized