SEORANG PEMUDA MATI DIPIJAK GAJAH LIAR

Posted on 8 Disember 2010



ULU BERTAM-Keberanian lima sahabat dari Kampung Bertam Lama, memasuki kawasan Hutan Bring, dekat Pos Pasik, di sini, untuk mencari buah keranji berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dipijak gajah liar, petang kelmarin.

Mangsa yang maut itu dikenali sebagai Muhamad Adnan Iberahim, 26, tetapi empat lagi rakan mereka yang lari lintang pukang menyelamatkan diri sebaik terserempak dengan sekumpulan gajah liar itu tidak cedera.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.50 petang semasa mangsa bersama empat rakannya memasuki kawasan hutan berkenaan dengan berjalan kaki selepas meninggalkan kenderaan pacuan empat roda ditepi jalan di situ.

Seorang rakan mangsa, Mohd Asri Shafie, 39, berkata, semasa dalam perjalanan itu dia bersama arwah dan tiga lagi rakan terdengar bunyi suara gajah dan beberapa minit kemudian terserempak dengan kumpulan gajah tersebut.

Menurutnya, dalam kelam kabut lari menyelamatkan diri tanpa menyedari kehilangan Muhamad Adnan sebelum berpatah balik mencarinya.

“Kami berpatah balik apabila melihatkan sekumpulan gajah tadi telah beredar dari situ dan mencari Muhamad Adnan yang ditemui dalam keadaan cedera parah di kepala dan dada dipercayai dipijak gajah liar tersebut,” katanya.

Menurutnya, dia bersama tiga lagi rakan terpaksa mengusung mangsa yang tidak lagi bernyawa membawa naik ke atas kenderaan pacuan empat roda untuk dibawa pulang ke rumah.

“Setelah sampai jam 6 petang di rumah di Kampung Bertam Lama, saya diarahkan ke Balai Polis Bertam untuk membuat laporan mengenai kejadian tersebut,” katanya.

Mohd Asri menyifatkan kejadian itu paling bersejarah dalam hidupnya yang pertama kali mengikuti arwah memasuki hutan itu.

Ketua Polis Daerah, Supt Saiful Bahri Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu dan menyerahkan kepada Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar (Perhilitan) Kelantan untuk memantau gajah liar itu kerana berbahaya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan jenazahnya dituntut keluarga awal pagi semalam.

Advertisements
Posted in: Uncategorized