OBAMA SERTAI PERAYAAN DEEPAVALI

Posted on 8 November 2010



MUMBAI: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, semalam menyertai perayaan Deepavali dengan menari dengan kanak-kanak di sebuah sekolah di Mumbai.

Encik Obama dan isterinya, Cik Michelle, pada mulanya duduk menyaksikan persembahan kanak-kanak di sekolah The Holy Name High School.

Cik Michelle kemudian bangun dan bersama-sama menarikan tarian tradisional India itu.

Beliau kemudian menarik suaminya untuk turut serta.

Encik Obama dalam rangka lawatan 10 hari di Asia dengan India merupakan destinasi pertamanya.

Pada hari kedua lawatannya ke India semalam, Encik Obama mengadakan dialog dengan pelajar Maktab St Xavier, di sini.

Dalam dialog itu, seorang pelajar mempersoalkan tindakan Amerika menyokong Pakistan.

India sering melihat Pakistan sebagai jiran yang sering menimbulkan ancaman keselamatan.

Serangan pengganas di Mumbai pada 2008 yang mengorbankan 166 jiwa merupakan angkara anggota militan Pakistan.

Menurutnya, Pakistan akur yang ia sedang berdepan dengan masalah pengganasan yang rumit.

Walaupun negara itu telah mencapai kemajuan dalam usaha menangani ‘barah’ pengganasan, usaha yang diambil ‘tidak secepat’ yang diharapkan.

Encik Obama berkata Amerika tidak boleh memaksa perdamaian dijalin di antara India dengan Pakistan.

Namun, beliau menarik perhatian bahawa India mempunyai taruhan paling besar dalam usaha Pakistan menentang pengganasan.

‘Jadi, harapan saya demi masa, kepercayaan akan terjalin di antara kedua-dua negara ini, dialog dimulakan… dan kedua-dua negara akan makmur. Perkara ini tidak akan berlaku esok,’ kata Encik Obama.

Dalam dialog itu, Encik Obama turut akur Amerika gagal mencatatkan kemajuan segera dalam isu pengangguran.

Beliau lantas akan membuat beberapa perubahan menyusuli kegagalan Parti Demokrat pimpinannya dalam mempertahankan kuasa majoriti di Dewan Perwakilan pada pilihan raya separuh penggal yang baru berlalu.

‘Walaupun kita telah mencatatkan kemajuan, kemajuan ini tidak secepat yang kita inginkan,’ kata Encik Obama. — AFP, AP, Reuters.

Advertisements
Posted in: Uncategorized