SARA HIDUP HILANG JIKA JUAL DESEL

Posted on 22 Oktober 2010



Nelayan hilang elaun sara hidup

KUALA LUMPUR – Nelayan boleh hilang kelayakan menerima elaun sara hidup jika mereka didapati menyeleweng atau menyalahgunakan diesel dan petrol subsidi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong berkata, kelayakan menerima elaun bagi sesuatu bulan atau tempoh tertentu boleh ditarik balik sekiranya pemilik bot atau pemegang kad e-Petrol atau e-Diesel disenarai hitam kerana melanggar peraturan.

“Ia termasuk lesen vesel perikanan atau kad-kad tersebut tamat tempoh dan belum atau tidak diperbaharui, vesel perikanan rosak, tenggelam atau tidak beroperasi menangkap ikan atau pemilik vesel telah menjual vesel mereka kepada nelayan lain,” katanya menjawab soalan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) pada sesi soal jawab.

Wee ingin tahu langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ketirisan dalam pengagihan subsidi diesel dan elaun sara hidup yang menyebabkan nelayan tiba-tiba hilang kelayakan atau tidak menerima bantuan dalam bulan-bulan tertentu.

Chua berkata, Jawatankuasa Induk Pelaksana Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan skim pemberian subsidi berjalan lancar dan mengikut dasar ditetapkan kerajaan.

Pemberian subsidi adalah mengikut kuota yang telah ditetapkan berdasarkan jenis perkakasan yang digunakan, kelas muatan vesel dan zon operasi menangkap ikan, katanya.

“Kementerian juga menetapkan syarat kelayakan menerima subsidi seperti memilik lesen sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia atau Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah atau Jabatan Laut Sabah, dan perlu mempunyai vesel perikanan yang selamat dan masih beroperasi untuk menangkap ikan,” kata Chua.

Advertisements
Posted in: Uncategorized