SUDAH SAMPAI MASA JASA UMNO DI DEDAHKAN

Posted on 18 Oktober 2010



KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sudah sampai masanya Barisan Nasional (BN) memberitahu rakyat akan jasa dan budi yang dilakukan parti pemerintah itu selama ini untuk kesejahteraan kehidupan mereka.

Perdana Menteri berkata, kerajaan BN tidak banyak menggembar-gemburkan apa yang dilakukan untuk rakyat berbanding parti pembangkang, walaupun mereka hanya membuat sedikit sahaja untuk rakyat.

“Kita buat banyak tapi tak riuh rendah. Mereka buat sedikit tapi riuh sekampung. Kita buat bangunan tak gembar-gembur. Kita buat setinggi gunung (tapi kadang kadang) orang tak hargai,” katanya berucap melancarkan Karnival Skuad Sayang Wanita UMNO di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, dekat sini, semalam.

Najib berkata, walaupun kerajaan memberikan pengecualian pembayaran elektrik yang bilnya RM20 ke bawah kepada lebih kurang sejuta isi rumah di seluruh negara, tetapi tidak menggembar-gemburkannya seperti sebuah negeri di bawah Pakatan Rakyat, yang memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu ke bawah.

“Sebab itu dalam Bajet 2011 saya cuba memasukkan kepentingan semua pihak untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menurutnya, pelbagai insentif disediakan demi kepentingan rakyat dalam bajet ini, antaranya Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas bagi membantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang RM3,000 sebulan, untuk memiliki rumah di mana skim itu akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah bawah RM220,000.

Katanya, dalam bajet itu, buat pertama kali dalam sejarah negara, kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform dalam penetapan upah golongan pekerja di negara ini.

‘Jadi usaha untuk mensejahterakan rakyat akan kita teruskan,” katanya. – Bernama

Advertisements
Posted in: Uncategorized