BEKALAN AIR HOSPITAL KELANTAN PARAS KRITIKAL

Posted on 4 Ogos 2010



KOTA BHARU – Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menegaskan masalah bekalan air paras institusi awam itu memang kritikal dan paras air cuma 0.6 meter berbanding paras kritikal ditetapkan 2.5 meter, menyebabkan ada harinya bekalan terputus ke bangunan tertentu.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan menyangkal kenyataan Exco kerajaan negeri yang menafikan laporan bahawa hospital berkenaan mengalami krisis bekalan air yang kritikal.

Beliau sebaliknya mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa bangunan lama hospital berkenaan yang turut menempatkan wad bersalin dan kanak-kanak, mengalami krisis bekalan air yang kritikal.

Katanya, ia berdasarkan kronologi krisis bekalan air yang dialami HRPZ II bermula pada 18 Julai lalu apabila paras air di tangki sedut (atas tanah) adalah 0.6 meter berbanding paras normal 2.5 meter dan paras kritikal dua meter seperti dipersetujui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN) dan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Dua hari selepas itu, katanya, aduan telah dibuat kepada AKSB melalui aduan hotline memaklumkan keadaan paras air tangki projek khas (bangunan lama hospital) kritikal.

“Keesokannya, sekali lagi aduan dibuat kepada AKSB bagi memaklumkan keadaan sama dan memohon bantuan tangki air dihantar segera tetapi Pusat Informasi dan Talian Aduan AKSB (Pintas) memaklumkan tindakan akan diambil selepas sehari aduan dibuat,” katanya dalam kenyataan akhbar kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, kerajaan negeri menafikan laporan bahawa HRPZ II di sini mengalami krisis bekalan air yang kritikal hampir setahun lalu sehingga menjejaskan operasi dan perkhidmatan di hospital tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Rata dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Anizam Abd. Rahman sebaliknya meminta pihak pentadbiran HRPZ II membuktikan dakwaan bahawa krisis tersebut benar-benar wujud sehingga ke tahap yang kritikal.

Dr. Ghazali berkata, pada hari yang sama, satu mesyuarat diadakan bagi membincangkan masalah antara pihak HPRZ II, SPAN, AKSB dan Radicare.

Beliau berkata, pihaknya sekali lagi telah membuat aduan mengenai masalah bekalan air di HRPZ II pada 22 Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kembali meruncing pada 29 Julai apabila bekalan air semakin surut apabila paras air tangki projek khas berada pada paras 0.6 meter di bawah paras kritikal pada pukul 12 tengah hari, dan aduan dibuat melalui Pintas, sementara bekalan terputus mulai pukul 3 petang hingga lewat malam.

Masalah tersebut, katanya, berlanjutan sehingga keesokan hari iaitu pada 30 dan 31 Julai apabila keseluruhan wad di bangunan lama terputus bekalan air bermula pukul 3 petang hingga 9 malam.

Dr. Ghazali berkata, pihaknya sekali lagi membuat aduan kepada AKSB pada petang semalam dan memohon bekalan dipulihkan segera sehingga menyebabkan syarikat itu telah menghantar lori tangki air.

“Dengan kronologi di atas, adalah tidak benar seperti yang dilaporkan pihak HRPZ II tidak memaklumkan kepada AKSB mengenai gangguan bekalan air yang berlaku di wad lama yang mengandungi dewan bersalin, wad bersalin, wad orang kenamaan, wad diraja dan wad lain.

“HRPZ II juga ingin memaklumkan jumlah bayaran bil air yang dibayar bagi keseluruhan hospital adalah antara RM25,000 hingga RM35,000 sebulan dan tidak seperti yang dinyatakan oleh Md. Anizam,” jelasnya.

Menurut Dr. Ghazali, penjelasan itu bagi memberi gambaran sebenar berkaitan isu air di HPRZ II yang berlarutan hingga hari ini agar pelanggan tidak keliru dengan fakta yang kurang tepat daripada AKSB.

“Kami di HPRZ II benar-benar berharap agar isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana keperluan air di sini amat penting terutama bagi menangani kes-kes kecemasan, bersalin dan pembedahan yang semakin meningkat demi menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke wad dan dewan bersalin di HPRZ II yang kedudukannya lebih tinggi berbanding wad lain, mendapati ia masih mengalami masalah bekalan air.

Keadaan tersebut bukan sahaja menyulitkan kakitangan bertugas tetapi juga ahli keluarga pesakit yang menunggu serta ibu-ibu hamil yang hanya menanti masa untuk bersalin.

Menurut seorang kakitangan hospital, Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) terpaksa mengangkut air di hujung blok menggunakan troli beberapa kali sehari untuk ditempatkan di bilik air pesakit.

“Begitu juga di bilik air kakitangan, bilik sembahyang dan juga bahagian pantri. Masalah ini bukan sahaja menyukarkan pesakit malah kakitangan yang bertugas juga memerlukan air untuk membersihkan tangan sebelum dan selepas menyambut kelahiran bayi,” katanya.

Seorang pesakit, Mia Sarbini, 31, yang sarat hamil dan mengalami kesakitan mengakui terpaksa menahan membuang air kecil kerana sukar tunduk dan menceduk air yang diletakkan di luar bilik air.

Tinjauan ke dewan bedah bersalin pula mendapati masalah sama berlaku dan beberapa kakitangan yang lebih lima tahun bertugas di sana memberitahu, krisis bekalan air kali ini paling teruk pernah dialami.

“Walaupun bilik pembedahan masih ada bekalan tetapi air amat diperlukan terutama di kalangan petugas yang terkena percikan darah ketika pembedahan dilakukan.

“Keadaan tentu bertambah sulit jika selepas pembedahan baru diketahui pesakit mempunyai masalah penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B dan lain-lain penyakit dan mereka memerlukan air untuk mandi dan membersihkan tubuh dari segala kotoran,” katanya. -MediaUMNO

Advertisements
Posted in: Uncategorized