Pas Dikeluar Dari BN Kerana Khianat, Salahguna Kedudukan -Mahathir

Posted on 27 Julai 2010



KUALA LUMPUR, 27 Julai – Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan sikap Pas yang lebih mementingkan agenda politik daripada rakyat dan menyalahguna kementerian untuk kepentingan politik menyebabkan Pas dikeluarkan daripada Barisan Nasional pada 1970-an.

Beliau menyebut contoh bagaimana Pas ketika berada di dalam BN tidak berlaku adil kepada konsep permuafakatan.

“Datuk Asri Haji Muda (Presiden Pas) diberikan jawatan Menteri dan bertanggungjawab mengenai tanah rancangan Felda, tetapi dia gunakan jawatan tersebut untuk kumpulkan penyokong Pas,” ujarnya.

Akibat daripada itu jelas beliau, Felda telah dijadikan kubu kuat Pas dan akhirnya Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn terpaksa mengeluarkan Pas daripada BN.

Oleh sebab itu, tegas Dr. Mahathir, kepercayaan UMNO terhadap keikhlasan Pas untuk bersatu demi orang Islam sudah diragui.

Menurutnya, Pas tidak ikhlas dan tidak boleh dipercayai dalam soal perpaduan umat Islam sepertimana yang dipersetujui oleh UMNO.

Beliau dilaporkan (umnobahagiancheras.blogspot.com) berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan kepimpinan 200 ahli-ahli UMNO dan pemimpin empat peringkat UMNO Bahagian Cheras, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya petang ini. -MediaUMNO

Share|

Advertisements
Posted in: Uncategorized