HORMATI SULTAN,JANGAN KIANATI PEMANGKU RAJA.Tengku Rozan

Posted on 26 Julai 2010



Pemangku raja Kelantan

 

KOTA BHARU – “Hormati Tuanku Al-Sultan yang sedang gering dan pentadbiran negeri perlu berjalan seperti biasa di bawah Yang Maha Mulia Pemangku Raja.”

Demikian penegasan yang dibuat Kakanda Sultan Kelantan, Tengku Rozan Sultan Yahya Petra yang mengulas mengenai kontroversi terbaru yang melibatkan Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamad, kakanda Sultan, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra dan Dr Peribadi Sultan, Kolonel Dr Amir Ramli.

Tengku Rozan berkata, kakandanya Tengku Merjan, tidak harus mencampuri urusan pejabat Sultan dan beliau percaya setiap pegawai, termasuk Pengelola Istana mengikut peraturan dan undang-undang semasa menjalankan tugas.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengesahkan bahawa Abdul Halim pernah melawat tuanku Sultan semasa baginda dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada 4 Mei yang lalu.

“Beliau (Abd Halim) juga beberapa kali menghadap Tuanku Al-Sultan semasa baginda dirawat di Hospital Mount Elizebeth, Singapura. Kita perlu sedar diri kenapa orang tidak mahu mendekati kita dan adakah betul Tuanku Sultan menitahkan pegawai-pegawai menghadap baginda,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan akhbar kelmarin yang melaporkan Tengku Merjan mendakwa Abd Halim sebagai pembohong apabila beliau berkata telah menghadap Tuanku Ismail Petra beberapa kali di sini dan ketika dirawat di Singapura baru-baru ini.

Dakwaan yang dibuat Tengku Merjan itu adalah susulan daripada kenyataan Abd Halim yang berkata, sejak tuanku gering, beliau telah beberapa kali menghadap tuanku Sultan sama ada di Kota Baharu ataupun Singapura.

Mengulas lanjut mengenai penggunaan pesawat khas untuk membawa tuanku Sultan ke Singapura, Tengku Rozan yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri berkata, penggunaan pesawat adalah mengikut prosedur dan surat kelulusan telah diterima dari Jabatan Perdana Menteri yang dihantar ke pejabat Sultan.

“Diharapkan perkara ini tidak dibincangkan lagi dalam akhbar. Urusan keluarga tidak patut dicampur adukkan dengan urusan penjabat. Hormatilah Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Pengelola Istana Diraja dan pegawai-pegawai Istana serta pegawai kerajaan yang bekerja 24 jam berkhidmat untuk tuanku. Kadang-kadang makan entah ke mana, ingat langit tidak selalunya cerah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, semua kenyataan yang dibuatnya sebelum ini berdasarkan arahan dan kelulusan pihak atasan dan bukannya pendapat peribadi beliau semata-mata.

“Segala kenyataan yang dikeluarkan mendapatkan arahan daripada pihak atasan dan bukannya pandai-pandai saya, oleh itu saya sangat mengharapkan urusan keluarga Diraja tidak dibincangkan dalam media,” katanya.

Advertisements
Posted in: Uncategorized