KEADILAN DESAK NAJIB BENTANG KERTAS PUTIH.ISU FELDA

Posted on 6 Julai 2010



dibangkitkan Pakatan Rakyat mengenai rizab tunai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menjunam sebanyak RM2.37 bilion dalam tempoh lima tahun dan beberapa keputusan pelaburan yang menyebabkan Felda menanggung kerugian.

Tidak cukup dengan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bermatian mempertahankan status kewangan Felda, isu itu akhirnya mendesak Najib bersuara akibat tekanan politik terhadap beliau.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, kerajaan pimpinan Najib perlu membentangkan kertas putih di parlimen bagi menjelaskan isu membabitkan kerugian yang dialami Felda.

“Kalau betul kerajaan telus, kita minta kerajaan bentangkan kertas putih di parlimen tentang apa sebenarnya yang berlaku terhadap kewangan Felda. Ini kerana kita ada bukti yang tunjukkan bahawa sebelum Felda diambil alih oleh Najib (di bawah Jabatan Perdana Menteri) dan sebelum diambil alih oleh Ahmad Maslan, ‘fixed deposit’ Felda amat besar, tetapi kini ‘fixed deposit’ Felda menjadi terlalu kecil,” tegas beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurutnya, beliau sendiri akan menulis surat kepada Jawatankuasa Wang Kira-Kira Awam untuk menggesa isu kerugian yang ditanggung Felda disiasat.

“Kita bukan nak menuduh sesiapa, tetapi apa yang seolah maklumat yang bercanggah. Kita tidak yakin tindakan dan penjelasan kerajaan betul kerana banyak perkara yang mengelirukan. Ini berdasarkan kenyataan yang dibuat Ahmad Maslan sendiri di parlimen saya masih ingat lagi pada 16 Jun lalu yang menyatakan rizab tunai Felda berkurangan dari RM4.08 bilion kepada 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2009.

“Ini bermakna rizab tunai menjunam sebanyak RM2.37 bilion dan selain itu juga disebut pembinaan menara Felda pada 2008 yang menelan ratusan juta ringgit. Perkara ini, kerajaan patut berikan sebab,” tegas beliau.
Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang mendakwa kononnya tuduhan terhadap Felda bankrap seperti yang dilaporkan dalam akhbar Suara Keadilan satu pendustaan, malah merupakan satu penghinaan kepada seluruh warga peneroka di seluruh negara.

Najib juga berkata tuduhan itu merupakan penghinaan kepada sebuah institusi yang selama ini telah banyak berjasa kepada masyarakat Melayu dan penduduk luar bandar sejak 50 tahun lalu.
Mengulas lanjut Johari berkata, isu yang ditimbulkan bukan bemaksud untuk menghina institusi itu dan masyarakat Felda amnya, tetapi memberikan penjelasan dan menjawab isu berkenaan.

“Felda ialah milik peneroka dan anak-anak mereka yang telah memberikan khidmat dengan segala bentuk pengorbanan. Soal yang kita bangkitkan bukan soal penghinaan tetapi kita nak tahu kedudukan sebenar kerana kita tidak mahu nasib Felda serupa seperti yang dialami Sime Darby, Pos Malaysia dan syarikat GLC lain yang menanggung kerugian.


“Sebagai parti (pembangkang) yang bertanggungjawab, kenapa kerajaan nak melompat? Tak payah melompat, kalau perkara itu tidak betul, jawablah. Kita dalam Pakatan Rakyat mempunyai maklumat berdasarkan apa yang kita ada dan tugas kerajaan hanya menjawab sekiranya dakwaan itu tidak betul. Tidak perlulah sampai nak melompat (saman).

“Kita sebagai pembangkang mestilah kita mahu bongkar berdasarkan maklumat yang kita ada, kita sebut kerana kita mahu kerajaan jelaskan isu ini. Biarlah rakyat yang tentukan siapa betul dan siapa salah,” kata Johari lagi.

Ditanya mengenai pendedahan ahli jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa di laman blognya beberapa hari lalu yang mengaitkan syarikat kroni milik Umno dengan beberapa projek pembangunan Felda, beliau turut terkejut dengan pendedahan itu dan mahu kerajaan menjawab dakwaan berkenaan kerana ia merupakan dakwaan yang cukup serius.
“Ini satu dakwaan yang berat,  bukan keluar dari mulut ketua cawangan PAS, tetapi seorang pemimpin besar PAS yang sudah pasti beliau mempunyai maklumat tentang dakwaannya. Kerajaan perlu jelaskan perkara ini,” tegas beliau.

Antara projek yang dikatakan dianugerahkan kepada firma berkenaan adalah kawasan perumahan dan komersial di Feldajaya iaitu sebuah projek pembangunan untuk generasi kedua peneroka Felda.

Laporan media mendakwa projek tersebut diserahkan kepada firma arkitek W&W yang dimiliki Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan dan seorang ahli pemuda Umno Bahagian Besut, yang dikenali sebagai Wan Burhanuddin Wan Hassan yang memiliki hubungan rapat dengan seorang pegawai atasan Felda di Terengganu.

Menurut Husam, projek tersebut bukan sesuatu yang dibanggakan berikutan lokasinya yang tidak sesuai dan harga kosnya yang terlalu tinggi menyebabkan ia menjadi sebahagian projek gajah putih.

Selain Feldajaya Trolak, terdapat tiga projek seumpama itu di Chini, Serting dan Mempaga yang menelan kos RM152 juta.
Husam juga mendakwa bayaran kepada arikitek berkenaan tidak jelas dan mungkin menjangkau RM500 bilion termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains Mara Trolak dan kolej komuniti di Terengganu dan Sabah.

 

Advertisements
Posted in: Uncategorized