TIBA MASA UMAT ISLAM BANGKIT,TETANG ISRAIL.

Posted on 1 Jun 2010



Saya mengutuk keras tindakan rejim haram zionis Israel la’natullah yang telah menceroboh dan menyerang kapal pengangkut bantuan kemanusiaan Flotilla Gaza iaitu Mavi Marmara pagi tadi di perairan antarabangsa diluar Filistin. Setakat tadi, 19 diberitakan terbunuh. Dua orang sukarelawan Malaysia yang juga wartawan dan jurukamera media Astro Awani, saudara Ashwad Ismail dan Shamsul Iskandar Latip turut berada diatas kapal tersebut dan belum diketahui nasib mereka.

Saya berpendapat sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa mengambil tindakan keras dan tegas terhadap rejim zionis la’natullah ini. Mereka langsung tidak menghormati undang-undang dan peraturan antarabangsa, dan bertindak sesuka hati tanpa mempedulikan hak asasi kemanusiaan. Ini adalah jenayah kemanusiaan yang jelas dan mesti dikutuk oleh semua bangsa dan negara.

Saya juga berpendapat negara-negara dibawah Pertubuhan Negara Islam (OIC) terutamanya Malaysia segera mengambil peranan untuk meyakinkan dunia barat dan kuasa besar khasnya untuk menghukum negara zionis la’natullah ini, dan membuktikan bahawa rejim Isreal inilah punca kepada ketidakstabilan dunia. Mungkin kata-kata Sheikh Mahmud Ahmadinejad ada kebenarannya, rejim Israel la’natullah ini sepatutnya dihapuskan daripada mukabumi ini!

Saya juga mencadangkan supaya negara-negara dibawah naungan OIC supaya menubuhkan Pasukan Pengamannya sendiri, dan bertindak melindungi negara-negara dan umat Islam yang memerlukan pembelaan khususnya, dan negara lain jika diperlukan. Kita umat Islam sudah tidak lagi boleh mengharapkan badan saperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melindungi dan menjaga keamanan kita umat Islam. Saya pernah mencadangkan ini semasa meletusnya keganasan Israel di Ghozzah tahun 2008 dahulu. Kita perlu menimbang perkara ini dengan serius.

Saya tidak nampak mengapa negara-negara dibawah naungan OIC tidak bileh mengumpulkan bala tentera untuk membentuk pasukan pengaman antarabangsa dan masuk ke bumi Filistin termasuk Ghozzah untuk melindungi dan membela umat Islam dan rakyat Filistin yang dizalimi dan dianiaya tersebut. Kita tidak perlu mendapat keizinan sesiapa. Undang-undang antarabangsa menyebut bahawa mana-mana tentera daripada mana-mana negara boleh masuk kedalam sesebuah negara atas jemputan negara hos tersebut. Sudah pasti kita yakin Kerajaan Filistin bersedia menyambut kedatangan balatentera pasukan pengaman negara-negara OIC.

Saya juga mendesak Parlimen Malaysia mengadakan sidang khas segera untuk membuat usul tergempar mengutuk pencabulan terbaru rejim Israel la’natullah ini. Saya juga mendesak Parlimen supaya menuntut Kerajaan Malaysia mengambil tindakan yang lebih konkrit dan jelas untuk menterjemahkan kemarahan rakyat Malaysia tentang pembunuhan terbaru ini. Saya berpendapat Parlimen perlu mendesak Kerajaan Malaysia mengambil inisiatif berbincang dengan negara-negara OIC yang lain untuk menubuhkan balatentera pasukan pengaman OIC untuk menjaga keamanan penduduk Filistin. Parlimen juga perlu mendesak Kerajaan menekan kerajaan Amerika, Britain dan dunia Barat untuk memutuskan hubungan diplomatik dan mengambil tindakan keras terhadap rejim Israel ini.

Akhirnya, saya menyeru umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia, marilah kita menghidupkan semula semangat jihad fisabilillah dikalangan umat Islam. Mutakhir ini umat Islam semakin lesu dan bisu. Kehidupan duniawi sudah menenggelamkan umat Islam kedalam krisis keimanan yang serius. Harimau-harimau Islam sudah tiada. Mana dia’Umar Ibnu Khattab, hilang sudah Khalid Al Walid, ghaib sudah Ikrimah Abu Jahal, Sallahuddin Al Ayubi hanya tinggal nostalgia sejarah, Sultan Muhammad Al Fateh berkubur tanpa pengganti. Kita perlu melahirkan lebih ramai mujahidin dan syuhada, yang menyintai mati syahid dan syurga. Saya meminta khatib minggu ini menyampaikan khutbah mengenai jihad dan mati syahid, agar umat Islam kembali menjadi singa disiang hari, dan ‘abid dimalam hari.

Semoga ALLAH merahmati roh muqminin yang terkorban, dan menjumlahkan mereka termasuk dalam golongan para syuhada dan memberi keampunan kepada mereka, dan meletakkan mereka kedalam syurga yang tertinggi bersama para anbiya.

Advertisements
Posted in: Uncategorized