Mahkamah Khas Tangguh, Hakim Tak Cukup Kuorum

Posted on 10 Mei 2010



Oleh:MOHD AL QAYUM AZIZI
PUTRAJAYA: Mahkamah Khas di sini hari ini menangguhkan pendengaran writ habeas corpus Sultan Kelantan ekoran bantahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail berhubung panel hakim tidak cukup kuorum.
Bantahan dibuat ekoran prosiding hari ini hanya disertai oleh empat panel sedangkan Artikel 182 (1) Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa Mahkamah Khas memerlukan lima hakim untuk mendengar dan mengadili kes yang dirujuk.
Prosiding ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Permohonan yang berlangsung secara tertutup sebelum itu dihadiri oleh panel permohonan, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Linton Albert.
Dalam pada itu, Pendaftar Khas Mahkamah, Harmi Thamri Mohamad berkata, prosiding akan diadakan secara tertutup di bawah Seksyen 14A di bawah Mahkamah Khas 1994.
Sementara itu, peguam yang mewakili Sultan Kelantan, Gobind Singh Deo berkata, perbicaraan akan dijalankan secara tertutup disebabkan pindaan yang telah dibuat terhadap Mahkamah Khas.
Bagaimanapun katanya, keputusan mengenai kes itu akan di dengar dalam mahkamah terbuka.
Pada Jumaat, peguam yang mewakili Sultan Kelantan memfailkan writ habeas corpus bagi memohon kebenaran untuk membawa baginda keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di mana baginda menerima rawatan sejak Selasa lepas.
Writ itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas di sini kira-kira menerusi tetuan J.S. Pillay & Mohd Haaziq.
Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail, putera ketiga Sultan.
Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.
Writ itu menamakan lima responden iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Ketua Pengarah Kesihatan dan kerajaan Malaysia.
Ini merupakan kes pertama di dunia apabila writ habeas corpus difailkan bagi memohon pembebasan seorang pemerintah negeri.
Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993 untuk mendengar sebarang prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah sesebuah negeri atas sifat peribadi baginda.dipetik dari mstar

Posted in: Uncategorized