SAYA TIDAK LEPAS TANGAN,BUKAN KRISIS KERAJAAN TAPI ANAK BERANAK

Posted on 9 Mei 2010



KOTA BARU: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz menafikan beliau mengambil sikap lepas tangan terhadap krisis yang terus menyelubungi Istana Kelantan pada ketika ini.

Sebaliknya beliau menyifatkan kemelut yang melanda Istana Kelantan itu adalah ‘cerita anak beranak’ dan tidak perlu campur tangan pihak luar.

“Kemelut Diraja itu cerita anak-bernak, bukan cerita kerajaan (negeri), itu (masalah) anak beranak.

“Saya tak lepas tangan, kerja anak beranak nak campur tangan macam mana?” katanya ketika ditemui pada majlis bersama Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bahawa krisis Istana Kelantan tidak akan berlarutan sekiranya beliau memainkan peranannya sebagai penasihat kepada Sultan dan Pemangku Raja Kelantan.

Malah Ibrahim berkata kemelut yang berlaku hari ini mencerminkan kegagalan Menteri Besar itu melaksanakan tugasnya dengan baik walaupun telah memegang jawatan tersebut selama 20 tahun.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz menegaskan krisis yang melanda Istana Kelantan itu perlu diselesaikan secara dalaman tanpa melibatkan rang luar.

“Bukan kerja MB (Menteri Besar), itu kerja orang lain… ni hal anak beranak,” katanya.

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada Selasa lalu hingga mencetuskan pelbagai persoalan terutama berhubung status kesihatan baginda.

Pada hari berkenaan, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Hamid dan Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry serta dua doktor cuba membawa Sultan Kelantan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura menaiki pesawat tetapi dihalang polis dan baginda dimasukkan ke HUSM.

Sejurus tiba di HUSM, Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke Wad Diraja untuk pengawasan perubatan, manakala Tengku Muhammad Fahkry bersama dua doktor itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan sebelum dibenarkan pulang, manakala Tengku Anis kembali ke Istana Mahkota.

Ditanya mengenai peranannya sebagai penasihat kepada Sultan dan Pemangku Raja Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata: “Nasihat la tu, di antara nasihat ialah senyap, ada yang Allah suruh nasihat, ada yang Allah suruh senyap.

“Jadi saya ambil sikap senyap, supaya benda ini berkisar antara anak beranak sahaja.”

Dalam pada itu Nik Abdul Aziz berkata, beliau dan barisan exconya merancang untuk melawat Sultan Kelantan di HUSM.

“Saya akan melawat, nak melawat sekali dengan exco,” katanya namun tidak menyatakan bila lawatan itu akan diadakan.

Posted in: Uncategorized