PENEL KHAS MULA SIASATAN MALAM INI

Posted on 5 Mei 2010



SHAH ALAM, 4 Mei (Bernama) — Panel khas yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden kematian Aminulrasyid Amzah, 26 April lepas, memulakan tugas mereka dengan melawat tempat kejadian di sini malam Selasa.

Panel yang diketuai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop bersama tujuh anggota lain dilihat mula berkumpul di Hotel Concorde Shah Alam kira-kira pukul 9.30 malam.

Mereka kemudian melawat beberapa lokasi dan laluan yang dipercayai dilalui Aminulrasyid dan rakannya, Muhamad Azamuddin Omar, kedua-duanya berusia 15, sebelum mangsa terkena tembakan di kepalanya dan mati di riba Muhamad Azamuddin, di tepi sebuah rumah di Jalan 11/2G, Seksyen 11, di sini.

Panel menaiki sebuah bas yang diiringi kereta polis dan kereta peronda.

Antara tempat yang dilawati ialah Bulatan Kayangan dan Restoran Ali Corner di Jalan Platinum G 7/G, Seksyen 7, persimpangan lampu isyarat berhampiran Kompleks PKNS dan bangunan Sirim Berhad.

Rombongan berkenaan tiba dilokasi kejadian kira-kira pukul 11.10 malam dan menghabiskan masa selama 30 minit meninjau kawasan akhir iaitu di jalan utama berhampiran jalan 11/2G dan longkang di mana kereta mangsa terbabas.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Abu Seman berkata tujuan lawatan itu adalah bagi memahami situasi dan gambaran sebenar kejadian.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Shah Alam, Deputi Superintendan Kamaruddin Ismail.

Advertisements
Posted in: Uncategorized