RUMAH HANGUS 6 BERANAK TINGGAL SEHELAI SEPINGGANG

Posted on 4 Mei 2010



Enam anak-beranak dari Kampung Kolam, di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah kediaman mereka hangus terbakar dalam satu kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam.

Zamri Yusof, 47, bersama isterinya, Roslinawati Shaari, 34, serta empat anaknya hanya mampu mengalirkan air mata melihat rumah yang didiami hampir 10 tahun itu musnah.

Roslinawati berkata, semasa kejadian, hanya beliau dan dua anaknya, Nursafirah, 5, dan Mohd Irfan Najmi, 4, berada di rumah, manakala suaminya keluar bekerja dan dua lagi anaknya ke sekolah.

“Pagi itu, saya hendak ke tandas yang terletak di luar rumah, dan nasib kami baik kerana saya sempat membawa kedua-dua anak saya keluar bersama dan bukannya meninggalkan mereka di dalam rumah seperti biasa,’’ katanya.

Menurutnya, selepas ke tandas, dia terkejut apabila melihat asap tebal dan api mulai merebak.

Roslinawati berkata, dia hanya mampu menangis kesedihan mengenangkan segala kelengkapan persekolahan anak-anak mereka serta kelengkapan lain musnah dalam kejadian itu.

Menurutnya, ini kerana ketika kejadian, kebanyakannya saudara terdekat tidak berada di tempat kejadian kerana keluar bekerja.

Sementara itu suaminya, Zamri berkata, dia bergegas pulang sebaik menerima panggilan daripada seorang jirannya yang memaklumkan rumahnya musnah dalam kebakaran itu.

”Saya bergegas pulang sebaik menerima panggilan kerana bimbang sebab dua orang lagi anak ada di rumah selain bimbang akan keselamatan isteri.

”Walaupun sedih, saya bersyukur kerana kedua-dua anak dan isteri saya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mereka sekeluarga kini menumpang di rumah ibu kepada Zamri untuk sementara waktu sebelum mendapat tempat pelindungan baru.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Saipul Bahri Mohd Noor, berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10 pagi sebelum berkejar ke lokasi dengan dua jentera bersama lima anggota.

Beliau berkata, turut sama membantu dalam operasi tersebut ialah pasukan Bomba dan Penyelamat Ketereh dan Pasir Puteh.

“Kami mengambil masa 10 minit untuk mengawal api daripada merebak, walaupun berdepan kesukaran kerana pili bomba terletak agak jauh dari situ.

”Setakat ini kami masih menyiasat punca kebakaran ini, walaupun maklumat awal difahamkan ia berpunca dari kejadian litar pintas yang dialami pada rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kerugian bagi kebakaran tersebut ialah kira-kira RM20,000.

Advertisements
Posted in: Uncategorized