PERAK BELANJA LEBIH RM 1 JUTA

Posted on 4 Mei 2010



IPOH – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Perak akan memanggil beberapa agensi kerajaan bagi mendapatkan penjelasan berhubung perbelanjaan melebihi RM1 juta yang diperuntukkan untuk beberapa majlis perasmian.

Pengerusinya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, ketua-ketua jabatan yang terlibat akan dipanggil untuk mendapatkan perincian bagi mengelakkan ada pihak yang melakukan pembaziran.

Menurutnya, mereka yang terlibat perlu memberi penjelasan dan laporan penuh dalam tempoh sebulan untuk diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim untuk tindakan lanjut.

“Dalam mesyuarat hari ini (semalam) kita dapat tahu masalah ini melalui laporan audit dan bersetuju untuk memanggil ketua-ketua jabatan yang terlibat.

“Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan peruntukan sewenang-wenangnya. Sudah tentu tidak masuk akal bila ada majlis perasmian mereka menggunakan perbelanjaan yang terlalu berlebihan tetapi tiada perincian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selepas mempengerusikan mesyuarat PAC Perak di sini, semalam.

Katanya, pihaknya juga akan memanggil satu agensi kerajaan yang gagal menyiapkan projek perumahan sehingga menyebabkan lebih 500 unit rumah tidak dapat disiapkan dan diduduki.

“Ada di antara unit rumah tersebut yang gagal disiapkan sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) lagi. Tugas kami hanya menyiapkan laporan audit yang tertunggak.

“PAC hanya mencari jalan untuk kelemahan-kelemahan yang ada dengan membuat laporan tetapi bukan mengambil tindakan,” katanya.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, PAC mahu memastikan semua laporan agensi kerajaan dapat disiapkan sebelum dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang.

“Bukan untuk menuding jari tapi untuk meningkatkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seperti mana yang disarankan oleh Menteri Besar. Hasil laporan PAC akan diserahkan kepada Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri. Terserah kepada mereka selepas menerima laporan ini,” katanya.

Advertisements
Posted in: Uncategorized