NYAWA TIDAK BOLEH DIBAYAR DENGAN WANG RINGGIT

Posted on 28 April 2010



Saya terkejut membaca berita seorang remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh sepasukan polis di Seksyen 11 Shah Alam semalam. Mengikut lapuran awal, remaja tersebut kononnya didakwa memandu sebuah kenderaan bersama seorang rakannya dan memotong sebuah kenderaan polis. Menurut lapuran rakannya tersebut, pihak polis telah menembak kenderaan tersebut menyebabkan ianya terbabas. Rakan Allahyarham kemudiannya ditahan dan ditendang beberapa kali. Lapuran awal menyebut Allahyarham Aminulrasyid dikatakan mempunyai kesan tembakan dari belakang.

Apa yang dikesalkan, kenyataan awal dibuat memberi gambaran seolah-olah Allahyarham Aminulrasyid seorang penjenayah dengan dakwaan kononnya terdapat sebilah parang didalam kereta tersebut.

Saya kira ini adalah satu dakwaan yang boleh menyebabkan siri lawak Senario menjadi hambar. Takkanlah budak berumur 15 tahun tidak boleh ditahan. Saya melihat gambar Allahyarham Aminulrasyid, ternyata beliau mempunyai tubuh badan yang kecil. Malahan ibu Allahyarham juga mengesahkan Allahyarham bertubuh kecil, seorang periang dan mempunyai ramai rakan. Apa yang menyedihkan ialah Allahyarham adalah seorang anak yatim yang kematian bapanya pada tahun 2004. Menurut kata ibu Allahyarham, Puan Norsiah Mohamed, 61 (gambar dibawah), Allahyarham yang merupakan anak bongsu dalam keluarganya beriya-iya mahu membersihkan kubur Allahyarham bapanya akhir-akhir ini, tetapi tidak berkesempatan. Rupa-rupanya itu petanda Allahyarham akhirnya menurut jejak langkah Allahyarham bapanya ke alam barzakh!

Apa pun, saya tidak boleh menerima hakikat pihak polis mesti melepaskan tembakan terhadap Allahyarham sehingga membunuh beliau. Apakah pihak polis tersebut tidak mempunyai alternatif lain untuk menahan kenderaan tersebut. Takkanlah sampai perlu melepaskan tembakan!!

Kejadian ini menambahburukkan lagi imej polis yang sudah pun sedia buruk. Usaha yang cuba dilakukan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk memulihkan imej pasukan polis akan menjadi sia-sia jika “polis koboi” sebegini dibenarkan bertindak sesuka hati mengikut nafsu mereka dan dilindungi dari sebarang tindakan.

Oleh itu, saya mendesak supaya pihak berkuasa Bukit Aman mengambil alih siasatan ini dan lebih baik ianya diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Negara sendiri untuyk memberikan gambaran bahawa kepimpinan polis memandang serius isu ini. Saya juga mendesak anggota polis yang terlibat digantung serta-merta (saya mendapat maklum mereka hanya dipindahkan ke kerja pejabat!!). Sekiranya terdapat kes, pihak yang terlibat hendaklah dikenakan pertuduhan membunuh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Saya juga berharap tiada pihak cuba mengambil sikap melindungi penjenayah-penjenayah ini.

Saya menghormati kenyataan YB Menteri Dalam Negeri yang memberi jaminan akan menubuhkan pasukan penyiasat khas untuk menangani perkara ini. Saya juga menghormati tindakan segera YB Dato’ Noh Omar yang memberi jaminan akan memberi segala bantuan yang diperlukan oleh keluarga Allahyarham untuk mendapat keadilan. Cuma saya berharap tiada pihak menangguk di air keruh dan cuba menjadi hero kampung berkompang kesana kemari mempolitikkan isu ini. Ini bukan isu politik, ini adalah isu jenayah yang perlu ditangani dengan segera. Malahan saya bersama rakan-rakan peguam bersedia membantu keluarga Allahyarham untuk menuntut keadilan. Insyallah saya akan sentiasa memantau kes ini dan akan membangkitkan isu ini dari masa kesemasa. Malahan saya telah menghubungi rakan senator di Dewan Negara yang sedang bersidang untuk membangkitkan isu ini dalam sidang dewan yang sedang berlangsung sekarang.

Inikah kanak-kanak yang di katakan jenayah oleh polis.Ya Allah jatuhkan bala keatas orang yang menembaknya.

Advertisements
Posted in: Uncategorized