MALAYSIA JADI PAK TURUT WASHINGTON

Posted on 18 April 2010



Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, amat malanglah bagi rakyat dan umat Islam di negara ini kerana mempunyai kerajaan yang menjadi pak turut Washington dengan menzalimi keseluruhan rakyat Iran yang tidak berdosa.

Ini kerana AFP melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mengarahkan syarikat petroleum negara, Petronas untuk memberhentikan penjualan minyak kepada Republik Islam Iran.

Sehubungan itu,tegasnya Perdana Menteri mestilah membuat penafian berhubung perkara itu sekiranya laporan yang dipetik daripada sumber berita AFP itu adalah benar.

Beliau juga mempersoalkan langkah terbaru kerajaan yang turut sama terikut dengan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat yang berterusan mengenakan sikap ‘double standard’ dalam menguruskan isu pembangunan teknologi nuklear sebagaimana yang disimpulkan dari Nuclear Summit 2010 yang dianjurkan oleh pentadbiran Washington.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Malaysia seharusnya mengambil sikap yang sama dengan Republik Turki yang konsisten, berani dan tegas bahawa hak penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan tidak seharusnya diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

Tambahnya, apa yang paling dikesalkan ialah regim zionis haram Israel yang terbukti telah dan sedang bertindak ganas tanpa batas tamadun manusia pula dibiarkan bermaharajalela dengan mempunyai teknologi nuklear sekian lama tanpa pula dikecam oleh mana-mana pihak di Washington.

“Inilah yang sebenarnya menjadi punca krisis keamanan dunia di waktu ini.

“Apa yang lebih buruk ialah dalam masa yang sama, kerajaan Malaysia juga telah gagal untuk menyuarakan tekanan kepada regim zionis Israel dalam persidangan di Washington itu,” ujarnya dalam kenyataan kepada wartawan.Sumber Harakahdaily.

Advertisements
Posted in: Uncategorized