Najib akan temui jalan sukar

Posted on 1 April 2010



KUALA LUMPUR, 1 April: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal menempuhi jalan yang sukar dalam merealisasi Model Ekonomi Baru (MEB).

Bagi beliau, krisis integriti seperti dalam institusi mahkamah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal menyukarkan kerajaan memacu ekonomi berprestasi tinggi, seperti yang dirancang dalam MEB.

“Selagi kerajaan tidak menangani isu-isu integriti institusi-institusi krtikal negara seperti SPRM dan kehakiman serta urusan ‘governance’ yang berlandaskan ketelusan, pertanggungjawaban serta komptensi, maka niat baik kerajaan Najib bakal melalui jalan sukar,” jelasnya pagi tadi.

Pun begitu, melihat sepintas lalu pada pengucapan Najib, beliau berkata, MEB seolah-olah menciplak Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat sejak 2006 yang lalu.

“Nak kata ciplak terlalu kasar sangat, tetapi mereka yang menekuni hal ini akan tahu alasan kami. Semacam Najib telah menelaah dan tak mustahil mengambil banyak syor-syor kami (Pakatan) atau penghujahan kami di Dewan Rakyat, termasuk yang mutakhir (iaitu) analisis kami tentang ekonomi negara,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Daripada ucapan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah di Dewan Rakyat semalam, menurut beliau, kerajaan Umno/BN seakan mengakui bahawa ekonomi negara mengalami masalah dari segi fundamental dan struktural ekonomi sendiri.

“Najib bercakap tentang meningkatkan pendapatan perkapita rakyat kerana terlalu lama rakyat terperangkap dalam regim berpendaptan rendah, meningkatkan pelaburan pihak swasta kerana kerajaan tidak lagi mampu mengepam dengan perbelanjaan awam,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Najib membuat pengakuan demikian mungkin disebabkan beliau sedari bahawa hutang kerajaan Pusat sudah meningkat sehingga 52 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Disebabkan senario ekonomi negara yang meruncing itu, menurutnya, mungkin memaksa Najib untuk menyebutkan MEB tersebut secara ‘inclusiveness’ atau ‘untuk semua pihak’.

Kata beliau lagi, Najib juga dilihat mula menerima definasi afimatif menurut Pakatan Rakyat, iaitu pengagihan kekayaan berasaskan pada keperluan sosial, bukannya berasaskan kepada bangsa etniksiti seperti yang diamalkan oleh Umno/BN.

“Ini semua kritikan kami dalam parlimen tentang ekonomi tapi mereka buat-buat pekak satu masa dahulu. Sekarang ini semua dah jadi program mereka, baguslah,” ujarnya.

Selaku Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang ditugaskan memantau Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, beliau berkata, kerajaan sepatutnya berusaha memastikan pelaburan asing langsung (FDI) masuk ke negara ini.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu mencari jalan untuk menggalakkan aktiviti pelaburan oleh pelabur tempatan atau domestik sendiri supaya mereka tidak membuat aktiviti pelaburan di luar negara.

Kata beliau, kerajaan juga seharusnya memulihara keyakinan dunia dengan tidak membiarkan segala kebocoran dahulu akibat amalan kronisme, rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan sekali lagi tidak menggagalkan perlaksanaan program-progran kerajaan BN ini.

Advertisements
Tagged:
Posted in: Uncategorized