DATUK WAN HASHIM DI TANGKAP POLIS

Posted on 26 Mac 2010



KOTA BHARU: Datuk Wan Hashim Wan Daud telah ditahan oleh sekumpulan pegawai polis di rumahnya dekat Kubang Kerian kira-kira jam 8.45 malam tadi.

Beliau kemudiannya dibawa ke Balai Polis IPK Kota Bharu dan masih berada di sana sehingga kini.

Beliau yang dilantik menjadi Setiauasaha Sulit Sultan Kelantan minggu lalu telah mengadakan sidang akhbar pagi tadi memaklumkan perlucutan jawatan Tengku Faris Petra sebagai pemangku raja Kelantan.

Beliau juga mengumumkan perlantikan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN) Tengku Abdul Aziz Hamzah sebagai pemangku raja menggantikan Tengku Faris.

Ekoran kenyataan media itu, Pengerusi Persatuan Pegawai Tadbir Kelantan, Shafie Ismail membuat satu laporan polis terhadap beliau.

Petang tadi Setiausaha MPN, Datuk Aiseri Alias dalam sidang medianya berkata, perlucutan Tengku Faris itu tidak sah kerana ia tidak mendapat sokongan dua pertiga ahli MPN.

Oleh itu, katanya, Tengku Faris kekal sebagai pemangku raja Kelantan. Turut serta dalam sidang media itu adalah Pengelola Istana Kelantan dan Pegawai Kewangan Kelantan.

Tagged:
Posted in: Uncategorized