Adinda Cabar Pemangku Raja Kelantan

Posted on 23 Mac 2010



KUALA LUMPUR, Dis 31 — Pemangku Raja Kelantan mencabar tindakan saman yang dikemukakan oleh adinda baginda Tengku Muhammad Fakhry Petra berhubung keputusan dipecat dari Majlis Perajaan Negeri Kelantan Sept lalu.
Tengku Muhammad Faris Petra dalam tuntutan balas hari ini berkata Tengku Muhammad Fakhry telah lewat 82 hari membuat permohonan asal di mahkamah.
Peguam Cecil Abraham, yang mewakili Tengku Mahkota Kelantan dan tiga lain yang disenaraikan sebagai responden dalam permohonan Tengku Muhammad Fakhry berkata, “pemecatan pemohon sebagai anggota Majlis Perajaan dibuat pada 16 Sept sedangkan Tengku Muhammad Fakhry hanya mengemukakan permohonan pada 7 Dis, di mana ia lewat 82 lagi.”
Bagaimanapun peguam Tengku Muhammad Fakhry, K Shanmuga membantah dan berhujah bahawa permohonan sebenarnya telah dibuat dalam tempoh 42 hari.
“Keputusan dibuat pada 16 Sept tetapi putera (Tengku Muhammad Fakhry) telah menulis surat kepada Setiausaha Majlis pada 25 Okt untuk mendapatkan penjelasan mengenai pemecatannya.
“Setiausaha menjawab kepada pada 26 Okt. Jika dikira dari 26 Okt, ia hanya membabitkan 42 hari, bukannya 82 hari,” kata Shanmuga.
Difahamkan bahawa pemecatannya hanya menjadi formal selepas keputusan itu diwartakan pada 17 Dis.
Dalam permohanannya Tengku Muhammad Fakhry memohon perintah daripada mahkamah yang menghendaki Tengku Muhammad Faris untuk mengembalikan keanggotannya dalam majlis dan satu perintah certiorari bagi membatalkan pelantikan lima anggota majlis itu.
Tengku Muhammad Fakhry, putera ketiga Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, menamakan Pemangku Raja, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Kelantan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.
Lima responden lain ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Tengku Salwah Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kol Dr Mohammad Razin Kamarulzaman.
Menurut Perkara 5 Perlembagaan Kelantan, majlis itu bertanggungjawab untuk menentukan bakal pengganti Sultan dan memastikan sama ada wujud kekosongan ekoran ketiadaan pemerintah negeri lebih dari setahun.
Tengku Muhammad Faris selaku Tengku Mahkota Kelantan dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan berikutan kegeringan Sultan Kelantan pada 24 Mei lepas.

Advertisements
Posted in: Uncategorized